BERSAMA

Barisan Rakyat, Suara Malaysia.

Kenapa Kancil?

Malaysia adalah sebuah negara bersaiz kecil tetapi berpotensi besar di persada dunia. Malaysia perlu bersaing dengan negara-negara besar yang ada pengaruh dan tekanan. Malaysia perlu menjadi seperti kancil, yang pandai menggunakan akal dan bijaksana menangani konflik.

Kebijaksanaan Mengatasi Kekerasan

Kekuatan sinonim dengan kuasa. Lebih kuat, lebih berkuasa. Hukum rimba menjadikan yang kuat itu berkuasa, lalu menindas yang lebih kecil. Tetapi yang kecil itu lebih ramai di rimba. Jadilah seperti kancil. Walaupun kecil, kancil mengatasi kekuatan buaya melalui kebijaksanaan.

Bijak, Berani, Tangkas

Kancil adalah simbol potensi generasi masa depan. Rakyat dan anak muda yang bijak, berani dan tangkas akan melunturkan kuasa sang buaya yang telah lama berkuasa. Masa depan rakyat dan negara adalah di tangan kancil-kancil kecil dalam masyarakat, bukannya buaya-buaya yang leka menunggu habuan.

Bersama Logo

Malaysia dibina BERSAMA

Malaysia yang ada sekarang dibina bersama oleh rakyat dari pelbagai keturunan dan latar belakang.

Cabaran terkini ekonomi dan sosial yang mempengaruhi kesejahteraan rakyat perlu dihadapi dan ditangani bersama.

Masa depan negara berhadapan dengan cabaran yang lebih rumit. Pemikiran dan pendekatan yang sesuai untuk abad lalu tidak lagi sesuai untuk abad ini.

Masa depan negara perlu dirangka bersama, seperti datuk nenek kita membina negara ini bersama.

Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mewariskan negara yang lebih baik kepada generasi muda.


Agenda Bersama

Dasar yang betul

Dilaksana melalui program yang berkesan

Menyelesaikan masalah struktur

Program yang mengubah hala tuju negara dan masyarakat mesti:

  1. bercita-cita besar
  2. meningkatkan mobiliti sosial
  3. menjamin keadilan sosial
  4. lestari

Sistem Perlindungan Sosial Nasional

Setiap rakyat Malaysia yang layak mendapat bantuan, atas dasar pendapatan isi rumah, kumpulan umur, tanggungan anak, berhak diberi bantuan bulanan tanpa perlu memohon, seperti mana kita berhak mendapat kad pengenalan pada umur tertentu, atau berhak ke sekolah bila cukup umur. Kementerian dan jabatan-jabatan yang menguruskan bantuan rakyat akan digabungkan menjadi Kementerian Perlindungan Sosial untuk mengendalikan sistem perlindungan sosial yang bersepadu dan mengelakkan pertindihan.

Had pekerja asing kepada 5% dari tenaga kerja

Sistem ekonomi yang bergantung kepada tenaga asing perlu diubah agar penggajian anak tempatan disyaratkan terlebih dahulu, sebelum boleh menggaji pekerja asing. Pangkalan data pekerja nasional menjadi semakan wajib, disokong oleh insentif nasional kepada majikan dan pekerja yang menggantikan pekerja asing. Pembangunan peluang kerja berproduktiviti tinggi yang gaji dan kemahiran sesuai dengan keperluan pekerja tempatan.

Pendidikan awal universal

Pelaburan besar kepada bakat masa depan bermula seawal umur 4 – 5 tahun. Sistem persekolahan kebangsaan menawarkan pendidikan pra-sekolah percuma kepada semua, dengan matlamat serampang dua mata meningkatkan mutu pendidikan dan meringankan kos sara hidup keluarga muda. Pelaksanaan bersepadu dan menyeluruh untuk memastikan infrastruktur persekolahan dan tenaga pengajar siap dalam tempoh 10 tahun agar semua kanak-kanak mendapat pendidikan awal universal.

Menghapuskan rent-seeking, mengangkat perusahaan kecil dan sederhana sebagai tunjang ekonomi

Penggubalan Akta Anti-Ali Baba menjadikan Malaysia antara beberapa buah negara paling ke hadapan menentang unsur “rent seeking” dalam ekonomi untuk menggalakkan persaingan sihat. Pendekatan bersepadu negara melalui dasar, penguatkuasaan, insentif dan reformasi perolehan awam untuk memberi keutamaan kepada perusahaan kecil dan sederhana dalam memacu ekonomi. Sasaran pencapaian perusahaan kecil dan sederhana yang setanding dengan negara maju: sumbangan 50% kepada KDNK, 60% dari tenaga kerja dan 30% dari jumlah eksport.

Pendidikan tinggi dwi-aliran

Membangunkan aliran pendidikan tinggi kedua berasaskan pengalaman kerja untuk membolehkan pekerja berasaskan kemahiran lepasan sekolah mensijilkan pengalaman kerja ke peringkat diploma. Pilihan kepada pekerja berasaskan kemahiran untuk menyambung ke peringkat universiti selepas beberapa tahun bekerja. Merombak kapasiti kursus yang dijajarkan dengan keperluan negara dan permintaan pelajar, dengan memberi autonomi penuh kepada universiti awam untuk bersaing mengikut pasaran.

Nisbah satu doktor kepada 300 penduduk menjelang 2030

Nisbah doktor kepada penduduk (setakat 2022) ialah 1:412, yang menjelaskan kenapa sistem perkhidmatan kesihatan kita dirasakan masih tertekan. Pelaburan dalam sistem perkhidmatan kesihatan perlu ditentukan oleh matlamat akhir iaitu nisbah doktor kepada pesakit, yang melambangkan kapasiti perkhidmatan kesihatan. Nisbah 1 doktor: 300 penduduk menjelang 2030 membolehkan peruntukan perkhidmatan kesihatan diutamakan mengatasi perbelanjaan lain untuk mencapai sasaran itu.

Sasaran berada di dalam quartile teratas dalam penaksiran pendidikan antarabangsa PISA

Memperkasa sistem pendidikan kebangsaan dengan matlamat melahirkan pelajar yang berdaya saing mengikut penarafan antarabangsa, yang diukur dengan penaksiran seperti PISA. Pelaburan, ubah suai dan pembaharuan dalam sistem pendidikan perlu ditentukan oleh matlamat untuk mencapai kedudukan di dalam quartile teratas PISA. Lonjakan yang diperlukan menuntut kerajaan membuat keputusan pelaburan jangka panjang yang radikal untuk mencapai sasaran ini.

Kebebasan institusi utama negara dengan mengelakkan pemusatan kuasa

Kawal selia, kuasa lantikan dan kebertanggungjawaban institusi-institusi utama negara, terutamanya yang berkait dengan agensi penguatkuasaan, dipindahkan kepada Parlimen dari Perdana Menteri. Kerajaan melaksanakan dasar anti-pemusatan kuasa di peringkat tertinggi, termasuk yang bersabit perolehan utama kerajaan, untuk mengurangkan risiko salah guna kuasa dan rasuah.

Pertumbuhan ekonomi tahunan melebihi 5% yang disertai dengan kenaikan pampasan pekerja yang adil

Melonjakkan struktur ekonomi Malaysia ke kategori ekonomi kompleksiti tinggi demi mencapai momentum pertumbuhan tahunan sekurang-kurangnya 5% untuk satu dekad akan datang. Campur tangan kerajaan, melalui gabungan dasar dan insentif, untuk memastikan kenaikan pampasan tahunan bersih (kenaikan gaji kasar ditolak inflasi purata) melebihi 5%, yang setara dengan pertumbuhan ekonomi.

Malaysia sebagai bateri Asia Tenggara

Mencapai sasaran Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk menjadikan Malaysia sebagai bateri Asia Tenggara. Membangunkan ekonomi berasaskan tenaga hijau yang berkemampuan mengeksport tenaga dan menjadikan Malaysia pusat pembangunan teknologi hijau serantau. Melaksanakan dasar tenaga yang mengangkat potensi solar bumbung rumah kediaman di seluruh negara sebagai fokus utama peralihan tenaga.

Pertanian moden sebagai aktiviti perkilangan utama

Pelaburan awam dan swasta untuk membuka rumah hijau moden dan tapak-tapak pertanian moden di seluruh negara, terutamanya di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak sebagai gedung-gedung makanan negara. Membangunkan pertanian moden dari dimensi perkilangan untuk mewujudkan peluang pekerjaan tetap di kawasan luar bandar di seluruh negara.

Perumahan generasi baru

Pembinaan perumahan generasi baru yang menggunakan kaedah pasang siap secara besar-besaran, termasuk membangunkan industri perkilangan IBS berskala besar, untuk membetulkan ketidakpadanan dalam pasaran perumahan negara. Sasaran nasional ialah harga purata rumah untuk golongan pertengahan dan miskin tidak boleh melebihi empat kali ganda jumlah gaji isi rumah tahunan. Sasaran ini memaksa kerajaan membangunkan model perumahan, pemilikan dan sewaan yang lebih luas dan kreatif.